Selasa, 26 Mac 2019

BR1M BUKAN WANG YANG DI CURI DARI RAKYAT

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan untuk mengurangkan dan menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Najib berkata, BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria penerimanya berdasarkan pendapatan bulanan isi keluarga tanpa mengira fahaman parti politik.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk membeli rakyat. Beliau juga mendakwa wang BR1M terlalu kecil dan rakyat tidak merasa."

"Agak pelik tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) curi wang untuk bagi balik kepada rakyat." 

"Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, BR1M yang disalurkan kepada rakyat tersasar ialah dari langkah rasionalisasi subsidi dan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Orang kaya banyak mendapat faedah daripada subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST)." 

GST mengurangkan pengelakan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi gelap.

"Wang ini dikembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang jumlahnya terus meningkat kerana kutipan GST meningkat hasil pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin berkembang."

"Bila orang susah dapat duit, duit itu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar." 

"Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan," katanya lagi.

Keputusan kerajaan itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai.

"Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum." 

"Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?"

"Adakah PH sudah lupa bahawa mereka berjanji untuk meneruskan BR1M didalam manifesto mereka?" 

Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?" katanya lagi.