Khamis, 30 April 2020

Azri buat laporan polis terhadap Anwar Ibrahim

KENYATAAN MEDIA

Laporan polis terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung penyebaran berita palsu dan cubaan menakut-nakutkan orang awam

Saya telah mengamati video ucapan Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya tentang kebanjiran pekerja warga asing di Malaysia, dalam Instagram miliknya.

Beliau menyebut, pada tahun 2019, jumlah pekerja asing di Malaysia ialah seramai 6.7 juta. Daripada jumlah itu, menurut Anwar, 2.7 juta daripadanya merupakan pekerja asing yang sah, manakala lebih 4 juta pula merupakan pendatang asing tanpa izin.

Menurutnya lagi, ia mewakili sejumlah 40% daripada keseluruhan jumlah tenaga kerja di Malaysia.

Anwar kemudiannya mengungkapkan rasa bimbang terhadap kebanjiran jumlah pekerja asing ini dan mengaitkannya dengan situasi kritikal wabak Covid-19 di Singapura yang banyak membabitkan jangkitan pekerja asing.

Anwar turut berkata, hal ini 'menggemparkan' kerana dakwanya, Malaysia belum membuat ujian (Covid-19) ke atas lebih 6 juta pekerja asing ini.

Video tersebut boleh ditonton di sini: https://www.instagram.com/tv/B_UMwQWAtbI

Saya dapati, apa yang diucapkan oleh Anwar itu ternyata merupakan cubaan menyebar berita palsu dan cubaan menakut-nakutkan orang ramai.

Pertamanya, statistik 6.7 juta pekerja asing itu sendiri telah dinafikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan mengesahkan bahawa statistik tersebut merupakan berita palsu. 

Kenyataan DOSM telah disiarkan oleh agensi berita Bernama pada 27 April 2020, dengan tajuk, 'Kenyataan mengenai pekerja asing tanpa izin ditular adalah palsu - DOSM'. Jumlah sebenar pekerja asing menurut data Statistik Tenaga Buruh 2019 ialah hanya seramai 2.3 juta orang. Ia tiga kali ganda lebih rendah daripada jumlah yang didakwa oleh Anwar.

Kenyataan DOSM boleh dibaca di sini: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1836267

Keduanya, selepas menyatakan statistik palsu kononnya pekerja asing mewakili sehingga 40% daripada keseluruhan jumlah pekerja di Malaysia, beliau dilihat cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan cubaan menggambarkan negara kita akan dilanda kesan wabak yang sama seperti di Singapura.

Maka dengan itu, saya telah membuat satu laporan polis terhadap beliau dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya.

Wan Muhammad Azri Bin Wan Deris
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia