Si pengotor terima akibat
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
DR. Zainal Ariffin Omar (kiri) menampal Notis Penutupan Premis Tidak Suci ketika mengadakan Ops Bersih.
SEREMBAN 15 Ogos - Golongan peniaga ini menyediakan makanan yang sememangnya nampak sedap untuk dinikmati.
Bagaimanapun, di sebalik proses penyediaannya, banyak perkara yang berkaitan dengan kebersihan telah diabaikan dan mungkin boleh 'meracuni' pelanggan.
Ini bukan sebuah kisah yang sengaja direka tetapi hasil daripada operasi yang dibuat baru-baru ini, telah menemukan beberapa pegawai Jabatan Kesihatan negeri dengan 'ramuan asing' termasuklah lipas yang menjalar di kawasan penyediaan makanan.
Dalam operasi memburu peniaga makanan di kawasan Senawang itu, Jabatan Kesihatan negeri telah mengarahkan 34 daripada 42 premis ditutup selepas mendapati tahap kebersihan yang meragukan.
Pengarahnya, Dr. Zainal Ariffin Omar yang turut serta dalam 'Ops Tutup' itu berkata, kesemua 34 premis berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari setelah didapati tidak memenuhi syarat kawalan mutu kebersihan seperti ditetapkan oleh pihak kementerian walaupun telah diberi amaran sebelum ini.
Beliau bersama tujuh pasukan seramai 70 anggota melahirkan rasa kecewa terhadap peniaga yang degil dan ingkar terhadap syarat wajib mengutamakan kebersihan dalam premis penyediaan makanan.
''Antara kesalahan yang dikesan sepanjang serbuan yang dijalankan adalah penggunaan peralatan memasak yang tidak boleh digunakan lagi, tong sampah yang tidak tertutup dan ada yang tidak mempunyai stor penyimpanan bahan mentah.
''Lebih menjijikkan ada lipas di tempat penyediaan makanan selain meletakkan meja di kawasan tempat letak kereta.
''Premis yang mendapat markah rendah, kita terpaksa mengambil tindakan untuk menutup premis berkenaan selama 14 hari," ujar beliau pada sidang akhbar di sini malam tadi.
Tegas Zainal, premis yang diarah tutup boleh memohon untuk dibuka semula selepas jabatan itu berpuas hati dengan tahap kebersihan premis masing-masing.
Pada masa sama beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu ini kerana premis perniagaan makanan yang tidak bersih boleh menyebabkan pelanggan berdepan dengan risiko keracunan makanan.
''Kita telah mengeluarkan arahan dan mereka tidak pedulikan. Jadi untuk mencegah, kita perlu melakukan penguatkuasaan ke atas pemilik premis yang degil," kata beliau.
Zainal menambah, pemilik premis makanan perlu peka dengan tahap kesihatan dan pastikan ia bersih bagi mengelak tindakan undang-undang di ambil ke atas mereka