Isnin, 4 Ogos 2008

Kemaruk kuasa’ di Kota Tinggi – Syed Hamid

Oleh Maznah Mohd. Arsad

KOTA TINGGI 3 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar mendedahkan, perjalanan mesyuarat cawangan UMNO bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, pemilihan kali ini seperti dibayangi unsur ‘kemaruk kuasa’ dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi bahagian itu khususnya jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Menurutnya, beliau menerima banyak maklumat bahawa gejala politik wang agak berleluasa dalam mesyuarat cawangan yang bermula tiga minggu lalu.

“Malah, apa yang membimbangkan saya ialah wujud unsur-unsur ugutan dan ancaman di samping kehadiran anasir luar yang dibawa masuk dalam politik UMNO Bahagian Kota Tinggi.

“Saya cukup takut dan bimbang... selepas pemilihan parti macam mana kita hendak pulihkan keadaan yang berkecamuk ini memandangkan ahli-ahli UMNO telah berpecah-belah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wanita Cemerlang Tonggak Keluarga Bahagia 2008 di Felda Aping Barat di sini hari ini.

Pada pemilihan bahagian itu, Syed Hamid yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi dicabar oleh seorang ahli perniagaan, A. Malik Abdul Rahman.

Syed Hamid menyandang jawatan Ketua UMNO bahagian itu selama empat penggal manakala A. Malik pula ialah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian itu.

UMNO Bahagian Kota Tinggi mempunyai 46 cawangan dan daripada jumlah itu sebanyak 25 cawangan telah mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Sehingga petang ini, A. Malik mendahului saingan apabila mendapat 15 pencalonan manakala Syed Hamid menerima 10 pencalonan daripada 25 cawangan terbabit.

Cawangan-cawangan yang mencalonkan Syed Hamid ialah Belukar Durian, Tuan Seh, Pasir Panjang, Teluk Sengat, Seluyut, Kampung Baru Pasak, Felda Simpang Waha, Kampung Baru Seluyut, Kampung Teluk, Kampung Sayang dan Felda Bukit Waha.

Dengan keputusan itu, Syed Hamid dan A. Malik layak bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Kota Tinggi 2004, Syed Hamid menang tipis apabila dicabar oleh Ketua Pemuda bahagian, Rosleli Jahari yang kini merupakan Setiausaha UMNO bahagian. Rosleli ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri.

Syed Hamid berkata, siapa sahaja individu yang ingin bertanding jawatan dalam parti sepatutnya bertafakur sejenak tentang faedah hasrat mereka itu kepada ahli-ahli parti.

“Pada dasarnya saya bersetuju dengan konsep demokrasi yang diamalkan yang menggalakkan pertandingan tetapi jika inginkan perubahan kepimpinan di peringkat bahagian, ia perlu dilakukan secara berhemah.

“Rasanya tidak molek dan tidak manis bagi individu yang ingin menjadi pemimpin menggunakan taktik kotor untuk merebut jawatan yang diidamkan. Gelagat pemimpin seperti ini sentiasa diperhatikan oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya, gejala negatif itu jika tidak dibendung boleh memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap ahli-ahli UMNO malah kepada orang Melayu yang selama ini menjadikan UMNO parti yang memperjuangkan nasib mereka.
====================================================================================
Terimalah saja hakikat Dato Seri...Dahulu orang pilih kita, mungkin hari ini orang merasakan ada yang lain yang lebih baik maka berlaku lah peralihan kuasa. Bukan bahagian Dato Seri sahaja...Banyak lagi bahagian akan berlaku peralihan kuasa. kuasa rakyat tak dapat disekat. PRU 12 pun kita boleh kalah , inikan pemilihan bahagian.

Masalah politik wang dalam UMNO memang sukar di bendung. Kalau saya nak kempen kepada 5 orang dari satu cawangan mestilah saya akan buat perjanjian akan berjumpa mereka di kedai kopi, restoran mamak kah atau rest house kah? Kalau wakil cawangan ke mesyuarat bahagian kata mereka tak ada tranport maka kita kena jemput dirumah. kemudian pulak bila sampai rumah tengok rumah buruk.robek anak menangis minta susu, tak kan kita yang berduit ini nak tengok saja. tak banyak sepoket dua kena hulur kan bantuan juga, nak harap JKM sampai berkulat tak nampak hidung. Itu baru seorang, bayangkan lah kita nak undi semua perwakilan. berapa banyak wang yang perlu ada untuk buat perjumpaan.

kalau lah tak boleh berkempen. macam mana ahli nak kenal muka kita, lain lah anak-anak dato dan anak-anak bekas wakil rakyat. hulur kad tulis naman si polan anak dato seri si polan maka semua orang akan kenal emak bapa dia. Ini askar yang baru nak berjuang. sudah tentu lah mesti dipromosi diri dahulu.

Lagi satu Dato Seri jangan lah guna Kemaruk kuasa, marah orang lain nanti yang bergelar Dato, Datuk Datuk Seri yang sedang cuba mempertahankan kedudukan dalam pemilihan ini.Setiap 3 tahun sekali kita akan dapat Pemimpin baru, UMNO demokrasi.