Rabu, 6 Ogos 2008

Pemimpin Hindraf tidak berhak tuntut ganti rugi RM100j

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata satu kenyataan media oleh beliau tahun lalu yang didakwa oleh penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar mengaitkannya dengan pengganas Sri Lanka bertujuan mengelak perbalahan kaum dan dengan itu Uthayakumar tidak berhak menuntut ganti rugi RM100 juta daripada beliau, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan pembelaannya, Musa berkata kenyataan yang dibuatnya kepada media pada 6 Disember tahun lalu adalah selaku pegawai polis tertinggi negara yang dipertanggungjawab oleh undang-undang untuk menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, kenyataannya itu juga untuk membalas dan membela dirinya terhadap dakwaan palsu yang dilemparkan oleh Hindraf terhadap kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis.

Uthayakumar telah mengemukakan saman fitnah menuntut ganti rugi daripada Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia kerana mendakwa perkataan berunsur fitnah yang dikeluarkan defendan dan dilaporkan meluas oleh pihak media, mengaitkannya dengan kumpulan pengganas yang berpangkalan di Sri Lanka.

Beliau mendakwa, ia memusnahkan kredibiliti dan reputasinya kerana perkataan berunsur fitnah itu mencerminkannya sebagai seorang pengganas dan berhasrat untuk menggunakan kekasaran bagi mencapai objektifnya untuk menggulingkan kerajaan.

Pernyataan ketiga-tiga defendan itu difailkan 5 Jun lalu oleh Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili mereka.

Pihak defendan juga telah mengemukakan permohonan saman dalam kamar bagi memohon mahkamah membatalkan saman, dengan alasan defendan telah mengeluarkan perkataan itu berdasarkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dan dalam keadaan perlindungan bersyarat oleh kerana isu Hindraf adalah isu kepentingan awam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Yazid Mustafar hari ini menetapkan 2 Disember ini untuk mendengar permohonan defendan untuk membatalkan saman itu.

Dalam pembelaannya itu, Musa berkata Hindraf adalah organisasi haram yang bertindak melanggar undang-undang negara dengan mengadakan perhimpunan haram serta menghasut orang awam sehingga mencetus huru-hara dan mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata Hindraf juga membawa agenda berbau perkauman dan penggunaan keganasan untuk mencapai objektifnya sehingga keadaan negara mencapai peringkat yang amat membimbangkan disebabkan tindak-tanduk organisasi itu yang berpotensi mencetuskan perbalahan kaum dan menguggat keselamatan negara.

Musa berkata perhimpunan Hindraf pada 25 Nov tahun lepas adalah perhimpunan haram yang sengaja diadakan dan diteruskan sehingga keganasan telah berlaku walaupun pihak polis telah menasihati supaya perhimpunan itu tidak diadakan dan tidak mengeluarkan permit untuk perhimpunan itu.

Dalam pernyataan pembelaannya pula, Abdul Gani berkata kenyataan yang dikatakan fitnah itu tidak merujuk kepada Uthayakumar sebaliknya pemimpin Hindraf itu sengaja membuat cerita bahawa kenyataan itu merujuk kepadanya.

=====================================================================================
HINDRAF merupakan kumpulan haram. Bahasa dulu dikenali 'kumpulan bawah tanah'. mereka tidak didaftarkan. Oleh yang demikian ketua kumpulan ini adalah tidak wujud secara sah dan tidak layak untuk menuntut ganti rugi RM1Juta dari Kerajaan. Saya mengesyorkan kumpulan dan pemimpin-pemimpin kumpulan enam jahanam ini digugurkan kerakyatan mereka kerana cara mereka bertindak jelas menidakkan undang-undang negara dan tidak menghormati YDP Agung. Izinkan mereka meninggalkan tanah ini dan pergilah cari tempat yang sesuai untuk dirinya.