Rabu, 21 Januari 2009

Tindakan Kerajaan Berkebajikan di Perak.

Ambil alih balai raya: Pusat ada bukti

IPOH 20 Jan. - Kerajaan Perak telah mengeluarkan arahan rasmi melalui surat bertarikh 23 September tahun lalu meminta semua Pegawai Daerah mengambil semula kunci balai raya dan dewan orang ramai hingga memaksa Tabika Kemas di tutup.

Itu merupakan bukti yang dimiliki Kerajaan Pusat berhubung penutupan tabika itu bagi menjawab dakwaan exco kanan kerajaan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa tiada arahan demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan rasmi itu meminta penghulu atau pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri mengambil alih balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan sebagai Tadika Kemas atas dakwaan ia milik Kerajaan Perak.

"Saya menyangkal kenyataan Exco kanan negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendakwa dua menteri berbohong kerana tiada arahan daripada Kerajaan Perak supaya menutup dewan orang ramai yang sebahagiannya dijadikan kelas Tabika Kemas.

"Saya mempunyai bukti kukuh iaitu surat rasmi bertajuk Pengurusan Balairaya atau Dewan Orang Ramai di Kampung Tradisional yang mengarahkan semua pegawai daerah mengambil kunci dewan daripada Pengerusi JKKK lama untuk diserahkan kepada Pengerusi JKKK yang baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Perak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan negeri menganggap balai raya dan dewan orang-ramai adalah milik mereka kerana ia dibina di atas tanah kerajaan negeri.

Katanya, surat itu juga meminta Pengerusi JKKK atau penghulu menguruskan balai raya dan dewan orang-ramai tersebut.

Sebelum ini Ahmad Zahid mendakwa, kerajaan negeri akan menutup kira-kira 7,000 balai raya dan dewan orang ramai yang boleh menjejaskan sesi persekolahan Tabika Kemas tetapi kenyataan itu dinafikan oleh Koo Ham.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana telah membenarkan semula penggunaan balai raya dan dewan orang ramai terlibat untuk dijadikan Tabika Kemas.

Sementara itu katanya, mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Perak memutuskan agar semua agensi Kerajaan Pusat di Perak mewujudkan projek kecil-kecilan untuk membantu pekerja yang diberhentikan kerana krisis ekonomi global.

Menurut beliau, pekerja yang diberhentikan seperti di kawasan utara Perak akan ditawarkan untuk melaksanakan projek kecil dalam bidang pertanian dan keusahawanan agar mereka mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, agensi terlibat juga diminta mengadakan projek jangka sederhana dan pendek ke arah menjana ekonomi ekoran kelembapan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.