TM ingin menasihatkan semua wakil rakyat peringkat parlimen dan dewan undangan supaya rajin turun padang berjumpa setiap pengundi jika ingin mengekalkan kerusi BN dalam PRU 13 akan datang.
Turun padang tidak semestinya berdiri di pentas untuk menyampaikan ucapan, memberi sumbangan atau cenderahati, makan-makan dan bersurai.
Turun padang yang dimaksudkan ialah balik ke kawasan berjumpa dengan ketua-ketua masyarakat dan akar umbi untuk mendengar dan menyelesaikan masalah-masalah penduduk atau pengundi. Tak kiralah samada mereka dari parti PAS, DAP atau PKR mereka juga perlu dibantu, mudah-mudahan mereka akan mengundi BN.
Luangkan masa sejam dua untuk berdialog dengan mereka di surau, masjid, balai raya, sekolah atau pun restoran yang bersepah di merata dan jangan jadikan perbezaan politik sebagai halangan untuk bertemu pengundi atau rakyat.
Kepada pemimpin-pemimpin parti politik seperti Ketua Bahagian yang tidak memegang jawatan wakil rakyat juga patut turun padang untuk berjumpa dengan akar umbi, apakah masalah mereka di peringkat cawangan. Harus diingat pada 2011 ramai yang ingin jawatan tersebut kerana ia satu tiket untuk menjadi Adun dan MP.
Hari ini sudah ada usaha-usaha untuk menjatuhkan Ketua-Ketua Bahagian, Timbalan atau lain-lain jawatan kerana ingin menjadi wakil rakyat. Ada juga Timbalan Ketua Bahagian ingin menjadi Ketua Bahagian dan telah menjalankan gerakan dan menyusun strategi masing-masing.
Ada yang sudah pun membawa orang harapan mereka makan angin ke luar negara. Mereka juga sudah kerap berjumpa cawangan-cawangan untuk mencari sokongan. Tidak hairan lah jika 2011 nanti ramai Ketua Bahagian atau lain-lain jawatan utama akan bertukar tangan.
Cuma masalah yang sering sampai di telinga TM ialah ialah rasa tidak puas hati rakyat dan ahli parti peringkat akar umbi kerana sukar bertemu pemimpin mereka.
Ini kerana pemimpin mereka sering dikepung dan dikelilingi oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Sukar untuk akar umbi meluahkan rasa hati atau bercakap dengan pemimpin mereka.
Ada yang bersuara "susah nak jumpa pemimpin, kena jumpa dua tiga lapis Personal Assistant. Sepatutnya biarlah kita berjumpa pemimpin kita dahulu kemudian baru lah kita jumpa PA."
TM cukup teruja dengan seorang MP Sarawak yang berjaya mengekalkan kerusinya sejak 1982 hingga sekarang kerana bijak membahagikan masa untuk balik ke kawasan setiap bulan, walaupun pada ketika itu berjawatan menteri dan menetap di Kuala Lumpur.
Cara beliau bertemu dengan rakyat cukup mudah, dengan seorang PA beliau menghabiskan sejam dua di satu kampung, tiada kompang, tiada kapet merah dan tiada jamuan. Selesai majlis dia bergerak ke tempat lain pula.
Bagi pembangkang tak perlu cakap banyak, mereka bersatu untuk menjatuhkan BN, masalah dalaman parti tak banyak diperkatakan. "UMNO harus bersatu" itula pesanan pucuk pimpinan parti dan veteran-veteran politik. Akan tetapi perebutan kuasa di peringkat bahagian terus berlaku.
Masing-masing membuat team untuk berkuasa, sepatutnya mereka perlu bersatu untuk merampas kembali kerusi negeri yang kalah. Apa guna berbangga dengan jawatan dalam parti sedangkan kita kalah dalam PRU.
bersambung/___