Khamis, 30 September 2010

WAWANCARA EKSKLUSIF PERAK TODAY BERSAMA MENTERI BESAR PERAK



Setelah setahun enam bulan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak, pihak pembangkang masih lagi mendendangkan isu-isu kononnya kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak demokratik. Mereka masih cuba memutar belitkan kenyataan seolah-olah hak mereka dinafikan, suara rakyat tidak mendapat tempat dan melemparkan fitnah kononnya wujud banyak penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri hari ini. Terbaru dalam satu wawancara di akhbar Harakah terbitan 13 Ogos 2010, bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin menuduh BN membunuh demokrasi di negeri Perak dengan mengaitkan insiden sidang DUN pada 3 Ogos 2010 sebagai episod pembunuhan demokrasi di Perak.

Apakah ulasan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry mengenai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh Nizar itu. Berikut adalah wawancara penuh beliau menjawab tuduhan-tuduhan dan penjelasan mengenai perkara sebenar yang berlaku.

PERAK TODAY: Ketua Pembangkang DUN Perak Nizar Jamaluddin dalam satu wawancara mendakwa wujudnya usaha pembunuhan demokrasi berlaku di Perak. Bagaimana Dato’ Seri melihat dakwaan tersebut?

ZAMBRY: Pertamanya, siapa sebenarnya yang memusuhi dan membunuh demokrasi? Pembangkang menuduh kerajaan hari ini tidak demokratik dengan mengaitkan perjalanan sidang DUN 3 Ogos lalu tidak memberikan mereka ruang yang cukup untuk berhujah.

Kali ini sudah empat kali sidang DUN sejak 7 Mei 2009, sudah empat kali juga mereka memainkan sandiwara politik yang tiada hemah demokrasi langsung semasa sidang berlangsung dan sudah empat kali jugalah mereka mencari helah untuk keluar Dewan.

Mereka bertempik, melolong, bergerak sebebas-bebasnya di dalam Dewan tanpa ada rasa hormat kepada perjalanan proses demokrasi yang kononnya mereka perjuangkan.

Suara rakyat yang sepatutnya mereka kemukakan ditimbus oleh kemaruk kuasa yang keterlaluan sehingga Dewan Undangan Negeri menjadi gelanggang sarkas. Lagak mereka tidak ubah seperti badut-badut politik yang beraksi di dalam sarkas. Mereka tidak pernah menghormati erti demokrasi sebenarnya.

Merekalah yang membunuh demokrasi.

Pernahkah ada sejarah dalam demokrasi perjalanan Dewan yang mulia dijadikan tempat untuk menunjuk perasaan dengan mengangkat sepandu-sepanduk yang tertulis fitnah dan serangan kepada kerajaan dan BN. Mereka juga berjalan di dalam Dewan tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang di dalam Dewan.

Gelanggang demokrasi Dewan dijadikan seperti gelanggang ‘doraemon’.

Namun jika dilihat kepada perilaku Nizar, kita tidak terkejut kerana semasa mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen selepas memenangi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, kita dapat menyaksikan beliau mengikat lilit kepala menuntut DUN Perak dibubarkan dan menjerit di hadapan Speaker di tengah-tengah Dewan. Ini telah cukup untuk membuktikan bagaimana beliau bukan seorang yang faham atau tahu menghormati peraturan. Sebaliknya jelas setiap tindakannya diselubungi oleh emosi politik dan kemaruk kuasa yang teramat sangat.

PERAK TODAY: Nizar juga menuduh kerajaan terlalu terdesak untuk meluluskan rang undang-undang perbekalan tambahan atau Bajet Tambahan sebanyak RM80 juta sebab itu kerajaan tidak berani mengadakan sidang DUN melebihi satu hari?

ZAMBRY: Sebelum kita membentangkan bajet tambahan tersebut, Nizar serta pemimpin pembangkang lainnnya termasuk Ngar Kor Meng menuduh usaha kerajaan itu hanya akan meningkatkan defisit bajet negeri. Dalam erti kata lain bajet tambahan RM80 juta didakwa akan menjadikan perbelanjaan kerajaan negeri melebihi pendapatan.

Nizar mendakwa bajet tambahan RM80 juta itu akan menjadikan defisit negeri meningkat kepada RM104 juta.

Namun bila kita bentangkan bajet tambahan itu dengan pecahan RM23.89 juta bagi menghapuskan defisit (kekurangan pendapatan) Bajet 2010, RM50 juta dicarum ke dalam Kumpulan Wang Amanah Perlaburan Negeri dan RM30 juta untuk pelbagai perkhidmatan awam (pembangunan), pembangkang terkejut.

Mereka ingatkan kita berhutang RM80 juta untuk adakan bajet tambahan tetapi hakikatnya kita memperolehi pendapatan lebihan (extra ordinary income) sebanyak RM117.26 juta. Maknanya berkat usaha kerajaan negeri, kita memperolehi pendapatan tambahan. Bajet tambahan telah menjadikan bajet 2010 kerajaan Perak sebagai bajet seimbang, kita tidak lagi berbelanja melebihi pendapatan, kita tidak menggunakan rizab negeri untuk pembangunan malah kita boleh melabur lagi bagi meningkatkan pendapatan di masa depan.

Ini menjadikan Nizar dan rakan-rakannya cuba mengalihkan perhatian kepada isu tidak cukup masa untuk berbahas. Hakikatnya semasa berbahas amat jelas Nizar dikuasai emosi marah yang amat sangat sehingga menjadikan perbahasan di Dewan yang mulai seperti pentas ceramah. Beliau memaki hamun BN hinggalah membawa isu Presiden MCA, Chua Soi Lek dan membuat fitnah kononnya Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani dibiayai oleh BN untuk pergi ke Australia.

Jadi isu kononnya Nizar tidak mendapat masa yang cukup untuk berbahas secara ilmiah hanya satu helah untuk menutup malu dan pembohongan yang dilakukan. Bagi saya mereka telah bersiap sedia hadir ke sidang DUN dengan hujah untuk ‘menyerang’ kerajaan dengan modal bajet tambahan akan meningkatkan defisit tetapi apabila fakta sebenar dikemukakan, mereka hilang punca dan mulalah bercakap perkara yang merapu di dalam Dewan.

PERAK TODAY: Selain mendakwa tidak diberikan peluang berbahas, Nizar juga menuduh media tidak dibenar membuat liputan dan polis menghalang mereka masuk ke dalam Dewan.

ZAMBRY: Bagi saya ini satu pembohongan besar yang dibuat oleh Nizar. Jika dikatakan beliau tidak diberi peluang berbahas, Speaker telah memperuntukkan masa 15 minit kepada wakil kerajaan dan pembangkang untuk berhujah. Wakil rakyat kerajaan mematuhi arahan yang dibuat oleh Speaker tetapi Nizar enggan mematuhi arahan malah mempersendakan Speaker yang tidak diiktirafnya dengan memanggil Speaker dengan namanya sahaja.

Walhal dalam peraturan Dewan kita tidak boleh memanggil seseorang itu dengan namanya. Walaupun diberikan teguran oleh Speaker, Nizar tetap tidak mengendahkannya. Dalam pada itu pun Speaker masih bertolak ansur dengan membiarkan Nizar terus berhujah hingga hampir 30 minit.

Inikah yang dituduhnya mulut beliau cuba ditutup daripada berucap?

Dalam soal media tidak dibenarkan membuat liputan, Nizar sekali lagi berbohong. Cuba lihat laporan berita pada 3 dan 4 Ogos 2010. Semua media termasuk portal berita pro pembangkang menyiarkan laporan penuh sidang DUN. Bagaimana mereka boleh membuat laporan jika mereka tidak dibenarkan masuk. Sebenarnya wartawan di tempatkan di tempat khas di atas Dewan yang boleh mengikuti persidangan secara langsung.

Mereka disediakan dengan pelbagai kemudahan termasuk makan minum. Jadi Nizar tidak perlulah menambah dosa dengan membuat pembohongan demi pembohongan.

Apakah Nizar mahu liputan media seperti sidang DUN 7 Mei 2009 di mana pembangkang boleh mengadakan sidang media di tengah-tengah Dewan dan wartawan berlegar dalam Dewan. Saya rasa cara itu tidak mengikut peraturan dan tidak menghormati Dewan.

Kalau nak bercakap soal kebebasan, saya rasa DUN Kelantan dan Pulau Pinang lagi teruk. Akhbar Utusan dan NST langsung tidak dibenarkan masuk. Tapi kita di DUN Perak, portal berita pro pembangkang turut diberikan pas masuk untuk membuat liputan. Jadi kepada Nizar semak dulu fakta sebelum bercakap.

PERAK TODAY: Bagaimana pula dengan tuduhannya kononnya pihak polis menghalang mereka memasuki dewan dan polis berada di dalam Dewan.

ZAMBRY: Setiap kali sidang DUN itulah tuduhan mereka kononnya di dalam Dewan dipenuhi polis sehingga menghalang mereka berhujah. Hinggakan Ngeh Ko Ham, ADUN Sitiawan pernah membuat kenyataan takut untuk berhujah bimbang ditembak oleh polis.

Saya tidak faham tiap kali sidang DUN polis dipersalahkan. Saya tidak tahu kenapa mereka benci sangat kepada polis. Seolah-olah polis mengawal Dewan dan memberi gambaran mereka berada dalam keadaan ketakutan amat sangat.

Hakikatnya mereka tahu tidak ada polis, yang ada hanyalah Bentara yang dilantik oleh Speaker. Soalnya kenapa ramai Bentara yang dilantik. Jawapannya mudah sahaja, insiden 7 Mei 2009 menjadi pengajaran dan Speaker merasakan perlu mengambil langkah berjaga-jaga ekoran tingkah laku pembangkang yang tidak senonoh yang mereka cetuskan semasa sidang DUN berlangsung ketika itu.

Kalau benarlah polis menghalang dan mengawasi pergerakan mereka mana mungkin poster, sepanduk dan peralatan rakaman boleh mereka bawa masuk ke dalam Dewan. Jadi janganlah berbohong sedangkan hakikatnya perkara yang didakwa itu tidak pun berlaku.

PERAK TODAY: Dalam wawancara itu Nizar menunduh kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu dengan meluluskan bajet tambahan RM80 juta itu?

ZAMBRY: Apa yang yang hendak kita sembunyikan. Perincian perbelanjaan kita bentangkan pada sidang DUN. Selepas itu urusan perbelanjaan peruntukan tersebut dikendalikan melalui tata cara kewangan negeri. Kita ada rekod dan butiran perbelanjaan. Apa yang hendak kita sembunyikan.

Contohnya daripada RM30 juta bajet untuk pelbagai perkhidmatan awam iaitu pengurusan, kira-kira RM4 juta digunakan untuk membangunkan 100 buah rumah untuk rakyat termiskin. Begitu juga untuk program pembangunan infrastruktur asas seperti memasang lampu jalan di kawasan luar bandar, pemasangan paip air untuk golongan miskin dan Orang Asli serta program pendidikan dan belia.

Inilah masalahnya dengan Nizar dan pembangkang yang langsung tidak mahu menilai sesuatu sebelum membuat kenyataan.

PERAK TODAY: Nizar juga mendakwa beliau dihalang berucap dan diperintah keluar Dewan kerana kerajaan khuatir jika beliau berhujah akan mendedahkan kelemahan kerajaan.

ZAMBRY: Sesiapa pun yang berada di dalam Dewan tahu wajah sebenar yang menjerit dan melolong-lolong. Beliau tidak langsung menunjukkan sikap sebagai seorang Ahli Yang Berhormat yang sedang berada di dalam Dewan yang mulia.

Dia yang memulakan ucapan dengan memetik ayat Al-Quran kemudiannya bertukar wajah. Dia harus bertanya kepada dirinya dahulu. Tindakannya mengejek Speaker beberapa kali telah mengundang teguran dan amaran daripada Speaker.

Perintah keluar Dewan bukan amalan yang luar biasa. Jika kita lihat di Dewan Rakyat Ahli Dewan yang jelas mencabar kuasa Speaker diperintah keluar setelah mereka diberikan teguran dan amaran berkali-kali.

Kenapa beliau diperintah keluar Dewan. Sebabnya beliau tidak mematuhi perintah Speaker. Terus mencabuli peraturan Dewan hingga mengganggu perjalanan sidang, itu sahaja.

Lagi pun saya ingin bertanya kepada Nizar jika tindakan memerintah beliau keluar Dewan dianggap pembunuhan demokrasi, apakah tiada ADUN BN di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang diperintah keluar Dewan oleh Speaker. Apakah itu juga bermakna demokrasi telah mati di negeri-negeri tersebut.

PERAK TODAY: Nizar juga menuduh Dato’ Seri menyalahgunakan wang dengan menyalurkan peruntukan kepada MCA untuk mendapatkan sokongan kaum Cina.

ZAMBRY: Ini satu lagi pembohongan yang jelas. Saya tegaskan dalam Dewan jika ada pun peruntukan kepada MCA ia adalah wang parti bukan wang kerajaan.

Saya tegaskan, saya tidak akan menggunakan wang rakyat yang menjadi amanah yang perlu dijaga untuk memenuhi tuntutan dana politik kepartian.

Lagipun apakah menjadi kesalahan jika MCA mencadangkan program ataupun projek pembangunan untuk rakyat seperti pembinaan longkang, memohon jalan, rumah PPRT yang pada akhirnya akan dinilai dan dipertimbangkan oleh kerajaan sama ada projek berkenaan layak untuk diluluskan atau tidak.

Mungkin mereka membuat dakwaan ini kerana ingin menutup amalan yang pernah mereka lakukan semasa mentadbir Perak 11 bulan dulu. Perkara ini pernah ditanyakan oleh ADUN Pengkalan Hulu yang juga bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali.

Semasa mereka mentadbir dahulu, ada keputusan dibuat oleh Nizar dan Exco ketika itu mewujudkan Pusat Khidmat di kawasan yang mereka kalah pada pilihan raya umum Mac 2008. Pusat Khidmat itu pula disalurkan peruntukan kerajaan dan dikelolakan oleh calon-calon parti mereka yang kalah. Contohnya di Sungai Manik, calon PKR yang kalah Mustafa Kamil Ayub mengelola Pusat Khidmat bagi DUN Sungai Manik, DUN Pangkor, dikendalikan oleh Pakhrazi Musa dan DUN Lintang, calon PKR yang tewas Mohamad Aun dilantik.

Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh BN. BN tidak pernah melantik calonnya yang kalah menguruskan peruntukan kerajaan bagi DUN berkenaan.

Saya ingin bertanya sebagai sebuah parti yang kononnya adil dan saksama. Apakah tidak salah mereka menyalurkan wang kerajaan kepada Pusat Khidmat yang ditadbir oleh ahli parti mereka yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang (local standee).

Kalau ini bukan penyelewengan, apakah namanya?

PERAK TODAY: Dalam wawancara tersebut juga Nizar mendakwa kononnya mendapat makluman daripada seorang Ketua UMNO Bahagian dan maklumat dalaman UMNO kononnya UMNO mengakui ia akan kalah pada pilihan raya umum ke-13. Boleh Dato’ Seri jelaskan perkara ini?

ZAMBRY: Kalau Nizar seorang yang warak dan beriman yang selalu membaca khutbah dan mengimamkan solat, saya mencabar beliau membuktikan tuduhan beliau.

Namun inilah cara mereka sejak dulu lagi. 16 September 2009 kononnya 30 Ahli Parlimen BN dah sedia bersama pembangkang untuk membentuk kerajaan Pusat. Tapi hakikatnya, ia satu pembohongan. Di Perak disebut ada ADUN UMNO akan melompat parti dan menyertai pembangkang. Itu juga satu pembohongan.

Jadi untuk semua mempercayai kononnya Nizar mendapat maklumat dalaman UMNO yang menyatakan pada PRU-13 UMNO akan tumpas, saya boleh katakan ia satu pembohongan. Saya tidak hairan dengan dakwaan ini kerana dalam soal dasar seperti bajet tambahan RM80 juta pun Nizar boleh berbohong, apalah sangat dalam soal politik.

Bagi saya, hakikat sebenar yang Nizar sediri sedari ialah sokongan rakyat kepada BN kini semakin pulih dan rakyat sedar kebaikan yang dilakukan oleh BN. Rakyat juga sudah boleh menilai kemampuan pembangkang. Banyak janji pilihan raya mereka dahulu tidak pun dapat dilaksana di negeri yang mereka kuasai.

Dengan itu Nizar cuba untuk bermain perang psikologi dengan cuba menyakinkan orang kononnya UMNO sendiri mengakui akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Saya rasa hairan orang seperti Nizar ini seolah-olah tiada istilah dosa tiada dalam kamusnya apabila sering bercakap bohong dan membuat fitnah.

PERAK TODAY: Kesimpulannya, apakah komen Dato’ Seri mengenai siri pembohongan yang dibuat oleh Nizar dan peluang BN pada PRU-13 akan datang.

ZAMBRY: Janji Allah ialah setiap yang hak itu pasti akan muncul. Jadi soal pembohongan Nizar biarlah rakyat menilai kerana rakyat hari ini semakin bijak untuk membuat penilaian. Sebagai manusia kita harus muhasabah diri. Apakah kita puas dengan berbohong.

Jika hendak digariskan pembohongan yang mereka lakukan, terlalu banyak. Nga Kor Meng contohnya menuduh Perak merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia dan mempunyai jumlah rakyat termiskin melebihi 120,00 keluarga.

Hakikatnya, jumlah keluarga termiskin pula di Perak kini cuma tinggal 771 keluarga. InsyaAllah menjelang tahun hadapan 771 keluarga ini akan dapat dikeluarkan daripda kumpulan termiskin.

Di pihak BN, kita akan terus memantapkan gerak-kerja kita. Sistem penyampaian akan dipekemaskan, ketua di setiap peringkat akar umbi perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Kakitangan awam pula mesti pantas menangani masalah rakyat.

Kita akan berusaha mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Kita harus mengelakkan politik kebencian. Jika kita hendak melaksanakan “witch hunting” atau mencari kesalahan orang lain, banyak boleh kita dedahkan. Tapi apakah faedahnya kepada rakyat dan negeri.

Pendekatan BN mestilah dilaksanakan sebaik-baiknya. Kita akan terus meyakinkan rakyat dengan pendekatan BN yang sederhana dan seimbang akan dapat diterima oleh semua di samping kita akan memastikan semua pihak terus menghormati dan mempertahakan prinsip-prinsip rukunegara dan Perlembagaan negara.

Suasana ini akan mewujudkan negeri yang aman dan bukan diwarnai politik picisan dan amarah yang akhirnya membuatkan rakyat tidak dapat hidup dengan aman dan makmur.