Khamis, 24 Mac 2016

Adakah Mahathir Akan Berhenti Bersuara Setelah Kesnya Dibawa Ke Mahkamah?

Rabu, 26 Mac , 2016


Salleh Said Keruak

Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain telah memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan 'tort misfeasans di pejabat awam' dan 'tort pelanggaran fidusiari di pejabat awam', merujuk kepada apa yang dikatakan oleh peguam mereka.

'Misfeasans' ertinya perbuatan yang tidak melanggar undang-undang tetapi dilakukan secara tidak wajar dan menerangkan situasi di mana satu tindakan oleh defendan (dalam kes ini DS Najib), walaupun dibenarkan oleh undang-undang,tetapi  menyebabkan kemudaratan kepada plaintif (dalam kes ini Tun Mahathir).

Istilah 'fidusiari' pula, adalah seseorang yang mempunyai hubungan secara undang-undang atau etika kepercayaan dengan pihak atau pihak lain. Dalam hubungan seperti ini, fidusiari diperlukan untuk bertindak pada setiap masa bagi manfaat tunggal dan demi kepentingan pihak yang memberikannya kepercayaan itu.

Pada tahun 1999, Anwar Ibrahim telah menyaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak RM100 juta. Pada tahun yang sama beliau juga menyaman akhbar The Sun dengan jumlah yang sama iaitu RM100 juta. Seterusnya pada tahun 2008, Anwar telah memfailkan saman terhadap Khairy Jamaluddin sebanyak RM100 juta diikuti pada tahun 2011, terhadap Nallakaruppan sebanyak RM100 juta dan pada tahun 2015 beliau menyaman NST beserta tiga yang lain dengan jumlah sebanyak RM70 juta.

Semua itu merupakan beberapa senarai panjang saman sivil yang akhirnya senyap begitu sahaja - kecuali kes saman Khalid Jafri Bakar Shah di mana Anwar telah menerima sebanyak RM4.5 juta, hanya selepas sembilan tahun kemudian dan defendan telahpun meninggal dunia.  Jadi, ianya masih lagi tidak jelas berapa panjang jangka masa saman Mahathir akan ‘berkubur’ di mahkamah dan keputusan yang akan diambil pada akhirnya.

Ini tidak syak lagi satu kes yang sangat menarik kerana sekarang ini terserah kepada Mahathir untuk membuktikan siapa yang bersalah dan tidak lagi memberi beban kepada Najib untuk membuktikan beliau sememangnya tidak bersalah. Mahathir juga perlu meyakinkan mahkamah bahawa beliau mempunyai locus standi (yang saya pasti peguamnya perlu menyiasat sedalam-dalamnya) dan bagaimana beliau telah menanggung kerugian peribadi, kecederaan atau bahaya.

Persoalan yang lebih penting ialah adakah Mahathir kini, akan berhenti bercakap apabila kes ini telahpun dibawa ke mahkamah dan jika beliau masih juga terus bercakap mengenai kes tersebut apa yang akan berlaku? Dan apa yang berlaku jika keputusan mahkamah tidak menyebelahi Tun Mahathir? Adakah beliau akan menerima keputusan muktamad tersebut dan meletakkan titik noktah terhadap perkara ini?

Salleh Said Keruak pada 10:54 PM

Diterjemah Oleh : JASA