PETALING, 17 April – Arab Saudi membuktikan bahawa tidak terdapat sebarang salah laku berkaitan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"(Ianya adalah) benar-benar sumbangan, tanpa mengharapkan sebarang balasan dan sebagaimana yang kami sedia maklum, hal tersebut telah pun selesai," ujar Menteri Luar Adel al-Jubeir kepada pemberita ketika sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Istanbul.
Bagi Tun Mahathir, kenyataan Adel itu telah menghentamnya kembali.
Dr Mahathir sebelum ini dilihat berulang kali menyerang Najib berkenaan isu derma RM2.6 bilion, namun bukti yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan telah sekaligus menyebabkan agenda beliau untuk menjatuhkan Najib ditolak.
Ini menyebabkan Dr Mahathir terpaksa mencari isu-isu lain bagi meneruskan perjuangan beliau di dalam memimpin gerakan Selamatkan Malaysia.
Pada ketika ini, Dr Mahathir dilihat seperti 'kehabisan peluru' apabila Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) yang terdiri dari ahli Parlimen dari pelbagai parti juga telah membebaskan Najib dari isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kempen tanda tangan Selamatkan Malaysia, yang dinamakan sebagai Deklarasi Rakyat yang telah dilancarkan dua bulan lalu, seolah-olah telah hilang pengaruh. Dr Mahathir dan para penyokongnya, termasuk Timbalan Presiden UMNO yang telah digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ahli tertinggi DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, seolah-olah 'mengemis' untuk mendapatkan tanda tangan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir sentiasa menganggap dirinya sebagai pejuang jalanan dan tidak akan mengangkat bendera putih tanda menyerah.
Beliau sedang menyusun atur strategi untuk membawa anaknya, Mukhriz kembali ke dalam arena politik. Namun Mukhriz telah ditinggalkan 'beku' dan berkemungkinan berdepan dengan hentaman UMNO. Parti-parti politik lain tidak mungkin akan membuka pintu mereka kepada beliau kerana perbezaan ideologi politik.
Walaupun sekiranya beliau diterima oleh pihak pembangkang – ia mungkin untuk mengeluarkan Najib dari Putrajaya. Mukhriz akan, atau mungkin, tidak akan mengetuai gerakan tersebut tetapi akan tetap bersama mereka bagi menaikkan sokongan.
Mukhriz perlu bersedia untuk menghadapi perjalanan yang sukar. Hanya Dr Mahathir mampu untuk menaikkan kerjaya politik beliau.
Namun kini Dr Mahathir sendiri telah kehilangan pengaruh. Beliau akan berterus-terusan mempersoalkan pengesahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Saudi namun tiga juta ahli UMNO telah sedia maklum mengenai motif beliau sekaligus dapat membaca percaturannya dengan penuh berhati-hati.
Oleh sebab itu, Dr Mahathir kini perlu mencari percaturan baru bagi memastikan gerakan pimpinan beliau relevan dan terus hidup – tanpa tersasar dari objektif utama beliau.
Pergerakan tersebut melibatkan seluruh negara, menampilkan para penceramah dari parti-parti lain, namun kelihatan lebih terarah kepada hal-hal yang berkaitan mereka sendiri – wakil DAP mempertahankan isu pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Lim Guan Eng, Mohd Sabu dari Parti Amanah Negara pula menyentuh isu fundamentalisme PAS manakala Azmin dari PKR pula sibuk memainkan isu pembebasan Anwar.
Walaupun berkongsi pentas yang sama dengan para pemimpin pembangkang, Dr Mahathir, Muyiddin dan Mukhriz dilihat lebih banyak bergerak sendiri.