Selasa, 26 April 2016

#PRNSARAWAK : Pemimpin PAN kena bayar ganti rugi kpd Felda


Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan sebuah syarikat hari ini terpaksa membayar ganti rugi RM350,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana memfitnah lembaga itu dalam sebuah buku.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Su Geok Yiam yang menolak permohonan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku defendan untuk menangguhkan perintah pembayaran ganti rugi itu.

Peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi, mewakili Mazlan dan syarikat penerbitan itu ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak rayuan kedua-dua defendan selepas mendapati permohonan itu tidak mempunyai merit.

"Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM5,000," katanya selepas pendengaran permohonan itu di dalam kamar hakim hari ini.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Nor Emelia Iszeham mewakili Felda.

Pada 29 Mei 2015, mahkamah itu memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise, yang menerbitkan buku "FELDA...Dulu Tolong Sekarang Ah Long" membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM350,000 serta kos guaman sebanyak RM150,000 kepada Felda.

Felda memfailkan saman terhadap Mazlan dan penerbit buku itu pada 20 Julai 2009 selepas mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud Felda adalah Along atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang terlampau tinggi.

Felda dalam pernyataan tuntutannya mendakwa buku itu menggambarkan Felda bakal mengaut keuntungan yang banyak daripada pelbagai rancangan kemajuan sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya hidup miskin akibat salah laku plaintif, dan mereka tidak ubah seperti hamba abdi ekoran dasar yang didakwa menindas.

Felda berkata kandungan buku itu juga berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi Felda bagi merendah-rendahkan imejnya di mata masyarakat.