Selasa, 26 April 2016

Tolak Usul Sidang DUN : Usaha Kerajaan Dap P.Pinang Tutup Kudis Dan Pekong

Pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Dap dan PKR yang mendakwa Kerajaan Dap Pulau Pinang tidak meluluskan kebanyakan usul yang dicadangkan untuk dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat tidak berpihak kepada kerajaan negeri bukan sahaja memalukan malah memperlihatkan betapa banyaknya kudis dan pekong yang cuba disembunyikan.

Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kerajaan negeri sudah tentu seboleh-bolehnya mahu menutup segala pekung dan segala benda yang boleh menampakkan kecacatan mereka dalam menguruskan kerajaan negeri.


Menurut beliau hakikatnya sidang DUN adalah tempat yang sebaik mungkin dan merupakan platform terbaik dalam usaha menyelesaikan segala permasalahan rakyat agar kepentingan serta kebajikan mereka terjaga.

“Pendedahan tersebut dilihat kerajaan negeri tidak telus. Ke mana hilangnya slogan mereka sebelum ini yang dicipta sebagai asas dalam perjalanan kerajaan negeri iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Dalam sidang DUN pun tidak berani untuk menerima hakikat apatah lagi jika ianya di luar DUN. Apa yang mereka ingin sembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Usahlah lagi guna atau laungkan slogan CAT ini.. hanya memalukan sahaja.

“Umum juga masih tidak lupa bagaimana wakil rakyat daripada kerajaan menangis di dalam sidang DUN. Itu hanya berlaku di Pulau Pinang. Jadi tidak peliklah dengan pendedahan berkenaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kerajaan Dap Pulau Pinang didakwa tidak meluluskan kebanyakan usul yang dicadangkan untuk dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat tidak berpihak kepada kerajaan negeri meskipun berkaitan isu rakyat.

Perkara itu didedahkan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Dap dan PKR yang mendakwa, usul tersebut tidak diluluskan meskipun dibawa ADUN kerajaan negeri sendiri.

ADUN Berapit daripada Dap, Ong Kok Fooi berkata, sikap sedemikian menyebabkan pentadbiran Kerajaan Dap Pulau Pinang ketika ini dilihat lemah meskipun selepas hampir dua penggal diberi kepercayaan oleh rakyat.

Beliau berkata demikian dalam Forum Celik Politik 3.0 bertajuk ADUN Buat Apa? – Peranan Penyokong dan Pembangkang Dalam DUN yang diadakan di bangunan DUN, di sini malam tadi.

Turut bertindak sebagai ahli panel dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang itu ialah ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin (PKR) dan ADUN Telok Air Tawar yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid.

Sambil melahirkan kekesalan terhadap pendedahan terbabit, Norliza seterusnya menambah banyak isu yang boleh diselesaiakn dan perlu dibawa oleh wakil rakyat ke sidang DUN supaya masalah penduduk setenmpat dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Jika inilah bentuk pemerintahan yang dilaksanakan, bayangkan soalan daripada pihak pembangkang…apa jadi dengan soalan daripada pihak pembangkang. Sedangkan soalan daripada wakil rakyat kerajaan negeri pun ditolak.

“Jadi kepada rakyat di Pulau Pinang, mereka boleh menilai dan melihat secara mendalam bagaimana sebuah kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.