Kenyataan Media Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatain (PMSP) Ramesh Rao
Saya secara terbuka mencabar DAP memutuskan hubungan dengan PKR dan PAS di negara ini secara keseluruhan tanpa ada beberapa negeri yang masih wujud kerjasama kononnya demi mempertahankan kerajaan negeri.
Kemelut pertelingkahan PKR dan DAP di Sarawak sudah cukup menunjukkan bahawa parti DAP tidak boleh bekerjasama dengan apa jua parti pun dalam politik kerana mereka ada agenda peribadi mereka tertentu.
Hari ini, seorang bekas Menteri Kabinet zaman Pak Lah, Datuk Zaid Ibrahim sudah mula mengeluarkan kenyataan dan cadangan kepada DAP supaya melupakan hubungan dengan PKR sebaliknya menumpukan gerakan politik bersama Parti Amanah Negara (PAN) untuk masa akan datang.
Katanya dalam Malaysiakini, beliau merancang untuk mengundang pemimpin DAP, Lim Kit Siang ke majlis makan malam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei depan.
Saya dengar program yang akan diadakan itu mewah dan di sana beliau akan menyuarakan hasratnya kepada parti cauvinis itu supaya meninggalkan PKR dalam gabungan ketika itu.
“Dalam majlis makan malam itu saya akan cadangkan ini: Lupakan kerjasama pilihan raya bersama-sama.
“Ia tidak berkesan dalam pilihan raya umum ke-13 dan tidak berjaya dalam pilihan raya Sarawak.
"Harapan terbaik untuk pakatan pembangkang yang boleh dipercayai adalah antara DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya Zaid di portal Malaysiakini.
Kita tahu ini adalah drama untuk menakutkan PKR bahawa mereka bakal ditinggalkan oleh DAP keseorangan dalam politik padahal sebenarnya DAP tidak akan berjaya mencapai agenda mereka jika tanpa bantuan dan penyertaan parti-parti ini kerana ada kawasan pengundinya membenci DAP.
Pastinya DAP tidak mahu rahsia sebenar ini diketahui dengan jelas dan terbuka oleh parti PKR kerana ia akan menghangatkan lagi pertelingkahan antara kedua-dua parti itu.
Kalau betul mereka berani dan boleh berdepan pilihan raya di negara ini, saya cabar DAP membuat keputusan secara keseluruhan dan benar memutuskan hubungan dengan PKR dan PAS di seluruh negara. Jika mereka pilih untuk kekal bergabung dengan PAN itu pilihan mereka.
Apa yang saya katakan di sini ialah cabaran saya kepada parti DAP yang dipimpin oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang untuk terus menamatkan sebarang hubungan dengan PKR dan PAS di negara ini secara keseluruhannya. Ini kerana konflik pertembungan sesama sendiri ini amat memalukan lebih-lebih lagi untuk parti politik yang sudah lama bertapak di negara ini seperti DAP.
28 April 2016
2:31 petang