Rabu, 7 Jun 2017

Masyarakat India perlu buat pilihan tepat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan Pengerusi BN Parlimen Bukit Gantang kepada wakil MIC Bahagian Bukit Gantang, Shanmugavelu ketika hadir melawat tapak pembinaan SRJK (T) Taman Kaya di sini hari ini


TAIPING 7 Jun - Masyarakat India di negara ini perlu membuat pilihan tepat dengan memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam Pilihan Raya Umum akan datang jika mahu melihat Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dilaksanakan dengan jayanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod dalam membangunkan komuniti India di negara ini berbanding pembangkang yang langsung tidak memiliki sebarang pelan tindakan mahupun pembangunan mengenainya.

"Kita harus menggunakan akal untuk ikut mana pihak yang mempunyai agenda bagi membantu kita dan yang keduanya mampu melaksanakannya dengan rekod prestasi.


"Dengan dua petunjuk ini, kita boleh membuat pilihan bijak dan tepat dan kalau kita mengikut perasaan, kita akan rugi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Kaya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam merangkap Presiden MIC dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - UTUSAN ONLINE