Selasa, 26 Mac 2019

CEO SPV: MENTERI AGAMA TIADA MAKLUMAT? – SYAHIR SULAIMAN



Kecoh di Parlimen hari ini, YB Menteri Agama gagal menjawab soalan mudah daripada YB Pendang (PAS) yang bertanyakan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang ditubuhkan sebagai langkah penstrukturan semula Tabung Haji.

Keadaan ini pastinya menggusarkan para pendeposit Tabung Haji apabila YB Menteri sendiri tidak mengetahui nama CEO dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat tujuan khas (SPV) yang menguruskan harta bernilai RM19.9 bilion milik Tabung Haji, dan kini dipindahmilik kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Pada 11 Disember lalu, Tabung Haji mengumumkan untuk memindahkan aset tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion kepada SPV yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan sebelum 31 Disember 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan.

Beliau berkata keseluruhan aset tidak menguntungkan (non-performing asset) milik Tabung haji, dikenalpasti menerusi dua kriteria iaitu membabitkan aset dengan hasil kurang 2.5 peratus bagi hartanah dan ekuiti yang memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus.

Malah ketika ditanya di dalam Dewan Negara pada 17 Disember 2018, YB Timbalan Menteri Agama telah menyebutkan dua nama wakil Kementerian Kewangan yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ketika penubuhan SPV Urusharta ini, iaitu Datin Rashidah Mohd Sies dan Tuan Haji Mohd Hassan Ahmad.

Namun pastinya ada perlantikan CEO dan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu sejak SPV ini mengambil alih aset Tabung Haji bermula 31 Disember 2018.

Persoalannya, bagaimana YB Menteri boleh menunjukkan sikap sambil lewa dalam hal ini, sehingga tidak tahu siapakah CEO yang dilantik bagi menguruskan harta institusi umat Islam bernilai RM19.9 bilion, walaupun telah tiga bulan beroperasi.

Jika inilah kualiti jawapan YB Menteri, pendeposit Tabung Haji berhak untuk bimbang akan kemampuan kalian menjaga kepentingan kami. 

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 26 Mac 2019