Jumaat, 29 Mac 2019

YADIM TIDAK WAJAR DICABULI UNTUK KEPENTINGAN PARTI POLITIK



1. Belumpun reda kontroversi perlantikan anggota *Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)* di kalangan penjawat parti *PPBM, PKR, AMANAH bahkan DAP*, kini timbul pula *isu tadbir urus yang perlu diberi perhatian serius oleh YB Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.*

2. YADIM dikhabarkan terpaksa menanggung kos emolumen yang tinggi oleh kerana *pengambilan ramai kakitangan baharu di kalangan orang parti telah dibawa masuk ke pejabat Yang DiPertua (YDP) YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.* Setiap pegawai khususnya dengan jawatan sebagai perunding (konsultan) dibayar dengan gaji besar antara *RM10,000 hingga RM12,000 seorang.* Dengan jumlah sedemikian untuk dibayar kepada beberapa pegawai yang telah ditawarkan jawatan tersebut khabarnya kos pejabat YDP sahaja mencecah *RM50,200 sebulan.* Ini bermakna YADIM harus menanggung *lebih daripada SETENGAH JUTA* setahun semata-mata untuk membayar gaji-gaji para pegawai di Pejabat YDP!

4. Ini tidak termasuk iklan perjawatan Pengarah-pengarah Negeri untuk diisi bagi merealisasikan hasrat Kepimpinan YADIM baharu untuk *menubuhkan cawangan-cawangan YADIM di negeri-negeri.* Sebelum ini YADIM beroperasi mengikut Zon bagi memastikan perbelanjaan yang efisien berdasarkan bentuk gerak kerja YADIM  kerana setiap kos operasi sesebuah pejabat YADIM negeri memerlukan kos pengurusan dan operasi yang besar. 

5. Persoalannya, di mana YADIM akan peroleh wang membayar *gaji perunding-perunding dan pegawai-pegawai baharu yang mencecah lebih setengah juta* dan hanya berperanan di pejabat YDP sahaja? Bagaimanakah kewangan YADIM akan terus kekal mapan jika kos melonjak tinggi dengan *pembukaan cawangan-cawangan seluruh Malaysia* sedangkan  YADIM boleh sahaja menjalinkan kerjasama  dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini?

6. Lebih membimbangkan jika YADIM terpaksa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menanggung segala kos tambahan ini kerana peruntukan Kerajaan kepada YADIM adalah amat terhad. 

7. Sewajarnya dalam keadaan Kerajaan Pakatan Harapan meminta penjawat awam mengikat perut, YADIM sepatutnya memanfaatkan sahaja lebih kurang 200 orang kakitangan yang sedia ada. Bahkan mereka juga berhak diberi peluang untuk dikembangkan potensi masing-masing.

8. Untuk makluman, YADIM yang ditubuhkan pada 1974 adalah sebuah institusi yang berpayung di bawah Jabatan Perdana Menteri dan berasaskan sebuah organisasi tanpa keuntungan ( Non-Profit Organisation). Matlamat penubuhannya adalah untuk menggerakkan usaha-usaha dakwah Islamiyah dan Islahiyah di negara ini melangkaui ideologi politik. Atas dasar inilah organisasi ini ditubuhkan di bawah Kerajaan BN sebelum ini dan hingga kini dibiayai oleh pihak Kerajaan bagi memperkasakan inisiatif memartabatkan agama Islam.

9. Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak tindakan segera *YB Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa untuk memperbetulkan isu tadbir urus YADIM ini.* Hentikanlah usaha merubah YADIM seolah-olah menjadi seperti parti politik dengan melantik pegawai-pegawai baharu di kalangan orang parti dan mewujudkan cawangan di negeri-negeri  yang bakal membebankan institusi. *Lebih malang sekali jika sebuah institusi Islam yang banyak jasanya kepada umat Islam hampir 5 dekad runtuh hanya untuk memuaskan agenda politik kepartian!*


*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki*
_Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia_

29 Mac 2019

*KLIK LINK DIBAWAH*