Khamis, 28 Oktober 2010

Daftar Pemilih terkini- SPR

Seramai 246,962 individu sudah mendaftar sebagai pengundi baru ketika tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun ketiga dari Julai hingga September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), berkata dalam tempoh yang sama, 32,494 pemilih sedia ada memohon pertukaran alamat pusat mengundi.

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2010 sudah mula dipamerkan sejak semalam sehingga 2 November di 997 tempat pameran di seluruh negara, menurut kenyataan SPR hari ini.

Mereka yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihatkan untuk menyemak rang tersebut.
"Mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010, boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B," kata kenyataan itu.
Sementara itu, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang itu boleh membuat bantahan dengan mengisi Borang C.

Antara tempat pameran rang daftar pemilih ialah Pejabat Pilihan Raya Negeri (14 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (457 tempat), kompleks/pejabat kerajaan (103 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (157 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (52 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (183 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat).
Selain itu, SPR juga turut mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

"Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya," kata SPR.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.