1. “Pemimpin PAS kerap memberi alasan yang noble apabila melakukan yang salah. Demikian PAS dengan Islam dan Brutus dengan Rome,” Tun Dr Mahathir Mohamad

2. Nik Aziz Nik Mat digelar mursyid, lebih tepat lagi mursyidul am PAS. Pengikut-pengikutnya memanggilnya Tuan Guru atau Tok Guru. Tetapi dia bukan mursyid dalam semua perkara. Dalam hal-hal yang menyentuh tentang babi sebagai contoh, dia tidak lagi mursyid. Dia memilih untuk berdiam diri dan tidak campur tangan.

3. PAS selalu menggunakan alasan agama untuk mengelak satu masalah agama yang lain. Babi memang haram. Tapi jika babi dimakan oleh orang bukan Islam itu bukan masalah kita. Jika kita buat kandang babi, ianya tidak salah sebab semua itu untuk orang bukan islam. Inilah yang kita dengar daripada mulut-mulut ahli PAS.

4. Dalam hal-hal yang membabitkan ketuhanan dan sifat-sifat-Nya, dia memang terlebih mursyid. Sebagai contoh dia memperaku bahawa mencarut itu tidak salah sebab dia pernah berkata Tuhan juga pencarut.

5. Dalam hal-hal tertentu dia turut menerima cara-cara yang samseng sebab menurutnya Tuhan juga samseng. Kalau Tuhan samseng, mengapa kita tidak boleh?

6. Begitulah apa yang pernah terjadi kepada tuan guru yang diterima sebagai mursyid oleh ahli-ahlinya itu. Para pengikutnya yang taksub itu bukan sekadar percaya pada setiap patah katanya, tetapi bersedia berpaut pada jubahnya.

7. Saya tidak tahu mursyid jenis apa ini? Saya cukup keliru bagaimana orang dapat berguru dan menghormati orang yang seperti ini yang percakapannya hari ini tidak sama dengan percakapannya semalam dan belum tentu sama pada masa akan datang.

8. Di sinilah lemahnya kalau seorang yang sudah bergelar tuan guru atau ulamak terlibat dalam politik kepartian. Agama yang sepatutnya menjadi pegangan dan tidak berubah-ubah boleh sahaja dikalahkan oleh perkiraan kuasa dan taktik politik.

9. Apabila berlaku pertembungan antara politik dan agama, yang menjadi mangsa selalunya agama. Ini turut berlaku dalam parti PAS dan tidak boleh lagi disembunyikan terutama selepas kemenangan mereka dalam PRU ke-12.

10. Kemenangan mereka di beberapa buah negeri atas nama PR yang mereka sendiri tidak menjangkakannya menyebabkan mereka teruja dan seterusnya bertambah gelojoh untuk bertindak sehingga mereka terlupa perjuangan asal mereka.

11. Jika ia berlaku pada PKR dan DAP saya tidak terkejut, tetapi masalahnya ini berlaku pada sebuah parti yang bernama PAS yang Islam mereka kononnya lebih hebat daripada yang lainnya.

12. Mutakhir ini agama tidak lagi menjadi pertimbangan utama dalam menentukan sesuatu keputusan, sebaliknya yang lebih diberi keutamaan ialah hati dan perasaan kawan-kawan, pengikut serta penyokong mereka.

13. Agama bagi PAS hanya baik untuk disebut, tetapi bukanlah pertimbangan utama apabila sampai di peringkat pelaksanaan. Inilah yang sedang berlaku apabila PAS sendiri berada di bawah ketiak DAP dan PKR.

14. Saya tidak nampak mereka lebih baik daripada orang lain. Dari segi percakapan, mereka selalu bercakap besar dan berdegar-degar mengenai agama, dan jelas lebih fasih dalam memetik sumber-sumber agama.

15.Tetapi dalam strategi berpolitik dan bernegara dalam konteks Malaysia, ternyata keputusan yang diambil jauh lebih buruk kesannya kepada orang Islam dan agama Islam.

16. Melihat kepada apa yang terjadi dalam beberapa bulan mereka memerintah ini, saya keliru sama ada mereka ini pandai memerintah atau tidak?

17. Kalau semua orang boleh memerintah, tentulah Imam Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi radhiallahu ‘anhum sudah lama dipilih sebagai khalifah atau imamah pada zamannya, tetapi mengapa mereka menyerahkan pemerintahan kepada orang lain.

18. Kalau semua orang ada keupayaan memerintah, termasuk para ulamak yang mursyid, mengapa Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali radhiallahu ‘anhum yang ditunjuk sebagai khalifah bukannya panglima-panglima perang seperi Usamah, Talhah, Zubair, Salman, Abu Ubaidah dan lain-lain sedangkan terbukti mereka pahlawan yang handal di medan tempur dan telah memenangi banyak peperangan.

19. Aku naik saksi bahawa kewujudan Tuhan itu benar dan pengetahuan-Nya yang maha luas dan meliputi itu juga benar. Tuhan yang memiliki ilmu (mengetahui), basyar (melihat) dan sama’ (mendengar) mengetahui apa yang patut dan tidak patut dilakukan ke atas umat ini.

20. Dia, Maha Suci Tuhan yang bersih daripada sifat kecelaan memilih sebahagian orang untuk mengurus hal-hal agama, sebahagian orang mengurus hal-hal ketentaraan dan peperangan dan sebahagian yang lain untuk memerintah negara dan umat. Begitulah Tuhan memandu kita dengan mengembalikan seseorang itu mengikut keahliannya.

21. Ternyata sekali skill memerintah itu telah Tuhan tetapkan kepada orang-orang tertentu yang namanya umarak yang diberi kemahiran tentang urus tadbir dunia dan segala kemaslahatannya berbanding yang lain-lainnya.

22. Masalahnya lidah PAS bersama Islam,tetapi hati mereka bersama DAP sedangkan telunjuk mereka ke arah UMNO. Semua ini terjadi kerana PAS lebih mementingkan apa yang ada di atas kepala mereka dan yang membelitnya daripada apa yang ada di dalam kepala itu sendiri.

23. Parti yang seperti ini cuma mampu mendominasi sebatang mikrofon dan beberapa kaki pentas. Sebab itu apabila diberi sebuah negeri PAS akan melayannya seperti sebatang mikrofon dan menjadikan negeri mengecil sehingga bersaiz pentas.

image5321.gif

Hakcipta Abd Bashid Harun